Tuesday, August 31, 2010

VANDALISME


-PENGENALAN-



Vandalisme adalah perbuatan merosakkan harta benda orang lain dan sekelilingnya dengan sewenang-wenangnya. Masalah vandalisme ini boleh dikaitkan sebagai masalah sosial yang semakin berleluasa di negara kita yang berkait rapat dengan faktor pendidikan, moral, kesedaran, kematangan, kekeluargaan, dan juga terhadap persekitaran. Menurut Wikipedia, vandalisme dikenali sebagai laku musnah iaitu merujuk kepada tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Perbuatan vandalisme ini boleh dikatakan satu perbuatan jenayah dimana jenayah yang dilakukan dengan merosakkan dan membinasakan harta benda orang lain dengan sengaja oleh seseorg indivudu. Pelbagai usaha dan langkah untuk menyedarkan masyarakat terhadap kesan dan akibat daripada melakukan perbuatan sebegini.



 


-SEJARAH VANDALISME-



Perkataan vandalisme ini berasal dari perkataan nama sebuah puak di Eropah iaitu vandal dimana puak ini telah membinasakan kota Rome pada tahun 445. Secara lahiriahnya kita ketahui bahawa perbuatan vandalisma ini dianggap sebagai satu jenayah dan salah satu masalah sosial yang mengganggu kehidupan seharian kita. Perbuatan vandalisme ini dianggap sebagai satu bentuk ritual yang telah dilakukan oleh sekumpulan manusia yang mempunyai rasa tidak puas hatu terhadap situasi serta masyarakat serta apa yang berlaku pada persekitaran mereka.



Ketika sesebuah masyarakat itu sedang mengalami revolusi, ataupun sedang mengalami proses penukaran kuasa secara keras dan paksaan, sebahagian daripada golongan masyarakat ini akan cuba mencabar autoriti yang lama dengan membinasakan sebahagian atau keseluruh harta benda yang dianggap sebagai rejim lama atau kuasa lama seperti tugu negara. Perbuatan sebegini adalah dianggap sebagai salah satu cara untuk menyampaikan mesej atau satu pesanan kepada pemerintah. Jika sekiranya pengalihan kuasa telah berjaya, pemusnahan harta benda ini dianggap sebagai simbol kekuatan akan dilakukan untuk menandai tamatnya kuasa pemerintahan yang lama.



Menurut wikipedia, perbuatan vandalisme yang paling besar yang pernah dilakukan dalam sejarah adalah dalam kempen “memecahkan adat lama” di negara China semasa revolusi kebudayaan(1966-1976), dimana dalam kempen yang dicipta oleh pengganas ini, mereka telah memusnahkan banyak bangunan-bangunan bersejarah, harta benda yang bernilai, artifak-artifak lama dan sebagainya. Alasan mereka adalah kesemuanya adalah bersifat fuedalisme lama. Di negara Malaysia contohnya, vandalisme secara ritual ini juga pernah dilakukan oleh Parti Komunis Malaya dimana mereka ini telah membinasakan tugu negara.





-VANDALISME SEBAGAI JENAYAH-



Jenayah selalunya berkaitan dengan pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat kita. Salah satunya adalah perbuatan vandalisme ini seperti yang telah diterangkan pada perenggan di atas. Seperti yang diketahui bahawa vandalisme ini dikenali sebagai perbuatan laku musnah harta benda. Ia merujuk kepada perbuatan yang dilakukan dengan merosakkan harta benda awam seperti papan tanda, perhentian bas, telefon awam, tandas awam, perkhidmatan bus awam, dan lain-lain lagi.



Seperti yang kita sedia maklum, perbuatan ini dilakukan oleh golongan remaja yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah seperti budaya melepak. Apabila golongan ini tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang berfaedah, inilah yang dilakukan oleh mereka. Ada di antara remaja ini adalah dari kalangan pelajar yang bermasalah di mana alasan mereka melakukan perbuatan ini adalah salah satu cara mereka untuk melepaskan tekanan marah ataupun rasa geram mereka terhadap permasalahan mereka atau untuk menghilangkan rasa kebosanan yang dihadapi.

Mereka ini memberontak dengan menggunakan cara seperti ini dan sebenarnya motif perbuatan vandalisme ini adalah terletak kepada emosi seseorang. Sungguhpun begitu, mereka ini menganggap bahawa apa yang mereka lakukan itu sekadar suka-suka, ringan dan tidak menyalahi undang-undang, akan tetapi mereka ini tidak sedar bahawa perbuatan ini menyebabkan kesusahan kepada masyarakat sekeliling mereka. Bukan kepada masyarakat sahaja, negara juga mengalami kerugian akibat daripada perbuatan yang tidak bermoral ini.



 


-FAKTOR-FAKTOR VANDALISME-



i. Pengaruh rakan sebaya



Para remaja pada hari ini begitu mudah terpengaruh dan meniru apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka dan kebiasaannya ia mencorakkan sikap, tingkahlaku dan nilai yang tidak baik terhadap dalam diri remaja tersebut. Kebiasaannya, remaja yang mempunyai masalah keluarga dan kurang mendapat perhatian keluarga mereka lebih cenderung dan mudah terpengaruh dengan apa yang ditonjolkan oleh rakan sebaya mereka. Mereka yang melakukan vandalisme ini bergerak dalam kumpulan dan golongan remaja ini tidak mempunyai tujuan, sekadar suka-suka melakukan perbuatan vandalisme ini seperti menconteng dinding serta merosakkan harta benda awam.



ii. Ibu bapa dan keluarga



Kebanyakkan para remaja terdorong melakukan perbuatan vandalisme ini mereka mempunyai latar belakang keluarga yang tidak stabil, yang mana permasalahan keluarga mereka ini menyebabkan semua ini berlaku. Selain daripada itu, punca lain adalah golongan ini kurang mendapat perhatian daripada kedua ibu bapa mereka. Jawapan yang sering diberikan oleh mereka bahawa ibu dan ayah mereka terlalu sibuk dengan kerja atau hal-hal lain. Kesibukan ibu bapa dalam mengumpul kekayaan menyebabkan mereka tidak mendapat kasih sayang serta perhatian yang secukupnya, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa dan keluarga juga merupakan faktor utama yang memdorong para remaja terjebak dalam gejala negatif ini.



iii. Pengaruh media massa



Media massa merupakan satu kaedah untuk menyampaikan sesuatu mesej atau pesanan dan peringatan kepada masyarakat sekeliling. Kesan pengaruh media massa ini amat kuat dan ianya sukar dielakkan. Bukan itu saja, kita sekarang ini disajikan dengan cerita-cerita dari luar negara yang memaparkan adegan-adegan yang negatif dari filem-filem hollywood misalnya yang memaparkan unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme dimana ia boleh mendorong dan mempengaruhi para remaja kita ini melakukan perbuatan vandalisme ini. Pada mulanya mereka ini hanya ingin mencuba atau suka-suka sahaja tetapi ia akan bertukar menjadi satu tabiat dalam diri mereka.



Hal ini kerana, golongan belia ini mudah meniru dan mengikut apa yang dilihat di sekeliling mereka ianya tanpa bimbingan dan tunjuk ajar dari orang yang lebih tua atau lebih arif dalam sesuatu hal tersebut.



iv. Sikap tidak peduli, invidualistik dan meterialistik masyarakat



Sikap masyarakat sekeliling yang kurang mengambil berat serta tidak mengendahkan perbuatan segelintir remaja yang melakukan perbuatan vandalisme juga turut menyumbang perkara ini. Seharusnya masyarakat bersama-sama membantu untuk mengekang perkara ini daripada menjadi lebih parah. Seperti yang kita ketahui bahawa anak muda pada masa sekarang merupakan produk dalam masyarakat dan ada sesetengah daripada masyarakat mengambil sikap tidak peduli inilah yang menyebabkan negara mengeluarkan produk yang pincang.



v. Nilai-nilai murni dan persekitaran



Kurangnya nilai-nilai murni yang diterapkan dalam diri remaja itu turut menjadi faktor utama vandalisme ini berlaku. Kita sedia maklum bahawa golongan remaja ini mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan apa yang berlaku di sekeliling mereka.



vi. Pendidikan



Kekurangan ilmu di dada menyebabkan gejala vandalisme ini berlaku. Perbuatan vandalisme ini dilakukan oleh remaja yang bermasalah dan mungkin antara mereka ini gagal dalam pembelajaran di sekolah.



 


-KESAN VANDALISME-



i. Individu



Kesan terhadap diri individu itu sendiri amat ketara. Ini kerana, kita sedia maklum bahawa segelintir golongan remaja yang melakukan perbuatan vandalisme ini hanya mahu melepaskan tekanan yang ada dalam diri mereka. Ada sesetengah di antara mereka ini hanya mahu memuaskan hati mereka sahaja. Tidak hairanlah jika akibat daripada perbuatan ini, golongan remaja mampu melakukan sesuatu yang lebih daripada itu seperti merompak, membunuh dan lain–lain lagi.



ii. Masyarakat



Seperti yang dinyatakan di atas, sikap segelintir masyarakat yang kurang atau tidak mengambil peduli langsung terhadap vandalisme ini memberi impak serta kesan yang amat buruk kepada mereka. Hal ini kerana harta benda awam yang rosak akan menyusahkan masyarakat sekeliling. Misalnya, telefon awam, tandas awam, perhentian bas, papan tanda dan lain-lain lagi. Contoh yang boleh diberikan adalah jika ada kebakaran masyarakat akan menggunakan telefon awam tetapi sekiranya telefon itu rosak ataupun sudah tiada, kebakaran tersebut mungkin akan menyebabkan kehilangan nyawa dan sebagainya.



iii. Negara



Perbuatan vandalisme ini boleh menyebabkan imej negara terjejas. Negara luar akan memandang rendah terhadap negara kita kerana mereka menganggap masyarakat kita ini kurangnya nilai sivik. Selain daripada itu juga, pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menggantikan kemudahan awam yang telah rosak. Tujuannya adalah untuk memudahkan rakyat dan memastikan setiap kemudahan yang di buat itu memenuhi kehendak rakyat.





-LANGKAH-LANGKAH MENGATASI VANDALISME-



i. Peranan individu dan ibu bapa



Dalam membanteras kegiatan vandalisme ini, peranan individu itu sendiri amat di perlukan. Dalam diri indivitu itu perlu ada sifat-sifat atau nilai-nilai murni agar mereka faham mengenai kesan buruk mengenai gajala ini. Individu itu perlu bijak memilih dalam melakukan sesuatu perkara.

Selain daripada itu, ibu bapa juga turut memainkan peranan penting. Ibu bapa berperanan untuk memberikan ilmu agama serta pendidikan yang baik dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka. Mereka juga perlu memberikan perhatian serta kasih sayang yang secukupnya agar anak-anak tidak berasa tersisih dan diabaikan. Selain daripada itu, kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa yang sihat serta pemikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

ii. Penguatkuasaan undang-undang



Langkah seterusnya bagi mencegah gelaja ini, pihak kerajaan perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang. Di bawah akta kerajaan tempatan 9 undang-undang kecil vandalisme 1991, sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang menbabitkan RM2000 atau penjara tidak melebihi setahun jika di sabitkan kesalahan. Tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang melakukan vandalisme ini. Ini mungkin dapat mengurangkan gejala vandlisme ini.



iii. Peranan masyarakat dan kerajaan



Masyarakat sekeliling boleh diumpamakan sebagai orang yang mampu menegur dan bersuara jika sesuatu perkara yang tidak baik berlaku pada persekiran. Mereka ini umpama ‘mata-mata’ kerajaan. Setiap anggota masyarakat perlu memberi perhatian terhadap anak-anak mereka dan juga kasih sayang yang secukupnye serta memantau segala tindak tanduk anak-anak remaja mereka.



Seharusnya peranan masyarakat sekeliling amat besar kerana mereka ini boleh memberikan kefahaman mengenai keburukan perbuatan vandalisme ini dan perlu lebih proaktif dan peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Selain daripada itu, peranan pihak kerajaan pula, perlu meningkatkan lagi tahap kesedaran sivik di kalangan remaja dengan mengadakan kempen-kempen di sekolah, di media massa dan lain-lain lagi agar golongan remaja ini tahu keburukan serta akibat yang akan berlaku jika perbuatan vandalisme ini berleluasa.



iv. Peranan media massa



Media massa berperanan untuk menyebarkan segala maklumat kepada rakyat. Peranan media massa ini boleh mempengaruhi seseorang individu mengenai info-info yang disebarkan. Media massa boleh berkerjasama dengan pihak kerajaan dalam menyebarkan dan menyalurkan segala maklumat mengenai gejala serta fenomena vandalisme ini. Ini mungkin sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan aktiviti vandalisme ini serta ia dapat meningkatkan kesedaran para remaja mengenai keburukan serta kesannya daripada perbuatan vandalisme ini.





-KESIMPULAN-



Perbuatan vandalisme ini boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk sekali. Bukan terhadap individu dan masyarakat saja, malah ia juga boleh menjejaskan imej negara Malaysia. Orang luar akan memandang negara kita sebagai negara yang kurang nilai siviknya. Seharusnya para remaja terutamanya, perlu sedar akan kesan dari perbuatan ini. selain daripada itu, masyarakat khususnya perlu bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam menangani isu vandalisme ini serta dalam mencapai negara wawasan 2020



Dihasilkan oleh: Tiani Nur Amirah Binti Hassan (207544)

1 comment:

  1. blh x saya tahu kat mana awk dpt infrmation tentang vandalisme ni???

    ReplyDelete