Saturday, September 18, 2010

DADAH


- PENDAHULUAN -
Dadah ialah apa-apa bahan kimia, sama ada asli atau tiruan. Dadah di masukkan ke dalam tubuh badan manusia secara disuntik, dihidu atau dimakan. Dadah juga boleh mengubah sistem organisma dari segi fizikal dan mental.   


- JENIS-JENIS DADAH YANG DISALAHGUNAKAN -

i.              Ice

Nama saintifiknya metamfetamina. Hanya perlu dihisap melalui tiup untuk mendapatkan kesannya. Hal ini di sebabkan penggunaan jarum mempunyai risiko terhadap jangkitan HIV. Penagih dadah ice biasanya mengalami paroonic (rasa ketakutan), rasa terdesak dan sanggup mengambil risiko besar untuk melakukan sesuatu yang membahayakan .  Kesan daripada penggunaan ice antara 8 sehingga 12 jam.  Ice terbahagi kepada Gred 1 - Cristal Stones, Gred 2 - China White dan Gred 3 -Ice biasa yang di campur dengan tawas.



ii.              Morfin


Sejenis alkaloid yang diperolehi dariapada candu mentah. Dalam pasaran gelap, morfin selalunya diperolehi daripada candu mentah. Morfin dihasilkan dalam bentuk blok, serbuk atau pil. Morfin digunakan melalui kaedah suntikan larutan morfin atau menelan pil-pil morfin.

iii.              Ganja
Dikenali sebagai "kanabis herba" ataupun Marijuna Grass. Iaitu merujuk kepada  bahagian dan pucuk berbunga Kanabis yang dikeringkan. Ganja dihasilkan dalam bentuk blok.

iv.               Estacy

Terdiri daripada kumpulan Feniletilamania. Bertindak pada saraf-saraf otak tertentu dan juga boleh merosakkan saraf tersebut. Memberi kesan seperti hilang selera makan, tekanan darah tinggi, serangan panik dan degupan jantung yang tinggi.

- FAKTOR-FAKTOR MASALAH PENAGIHAN DADAH -

i.              Pengaruh rakan sebaya

Hal ini berlaku dalam kalangan remaja diperingkat  sekolah ataupun diperingkat instituisi pengajian tinggi. Sememangnya rakan sebaya merupakan insan yang rapat dalam hidup seseorang remaja selain ahli keluarga. Pengaruh rakan sebaya  pada kebiasaanya bermula dengan aktiviti merokok di peringkat sekolah. Seterusnya diikuti dengan pengambilan estacy, ganja dan menghidu gam.

ii.              Kesibukkan ibubapa

Ibubapa yang terlalu sibuk bekerja sehingga lewat malam, sememangnya tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama untuk anak-anak di rumah. Oleh itu ,anak-anak terutamanya yang sedang meningkat remaja akan berasa terpinggir da merasakan diri  mereka tidak disayangi oleh ibubapa. Oleh itu,anak-anak akan mencari jalan sendiri untuk berhibur dan meluangkan masa yang terluang bersama rakan-rakan yang sepatutnya diisi bersama ibu bapa dan ahli keluarga lain. Antaranya melepak bersama rakan-rakan yang juga menjadi punca kepada pengambilan dadah .

iii.              Kurang didikan agama

Selain itu, kurang didikan agama juga terutamanya dari ibubapa menjadi salah satu faktor remaja hari ini terjebak dalam gejala penagihan dadah. Kurang pegetahuan agama, antaranya tidak kuat iman akan menyebabkan segelintir remaja tersebut akan mudah terpengaruh dengan budaya dan cara kehidupan sosial kini. Terutamanya gaya hidup dari barat, yang mana remaja  di sana menganggap dadah merupakan perkara biasa bagi mereka. Golongan remaja yang cetek agama juga akan keliru dalam mengenalpasti sama ada perkara tersebut baik atau buruk.

iv.              Sikap ingin tahu

Tambahan lagi, bagi anak-anak yang sedang meningkat remaja akan mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi dan mendalam tentang sesuatu perkara tersebut. Antaranya  mengenai perkara atau situasi baru yang belum pernah mereka rasai dalam kehidupan mereka. Sikap ingin tahu ini juga mempunyai tahap risiko yang tinggi boleh menyebabkan mereka terjebak dalam najis dadah. Lebih-lebih lagi bagi golongan remaja yang menetap di bandar-bandar besar yang mudah terjebak dalam aktiviti sosial.


- KESAN-KESAN MASALAH PENAGIHAN DADAH DI KALANGAN REMAJA -

i.              Terhadap Negara

Masalah penagihan dadah sememangnya mendatangkan pelbagai masalah kepada negara. Antaranya kerajaan terpakasa menyediakan peruntukan modal untuk merawat para penagih dadah. Hal ini sememangnya  membawa kepada kerugian negara disebabkan dana yang diperuntukan  untuk merawat penagih dadah  adalah lebih baik digunakan  untuk tujuan pendidikan, peningkatan teknologi dan lain-lain yang boleh memberikan kebaikan kepada negara. Selain itu,golongan remaja atau belia merupakan aset kepada pembangunan negara. Namun, masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja menyebabkan negara kekurangan bakal-bakal pemimpin masa hadapan.

Selain itu, masalah penagihan dadah merupakan antara faktor yang menyebabkan kepada meningkatnya masalah jenayah  di negara kita. Hal ini sememangnya akan menggugat ketenteraman negara disebabkan menjadi-jadinya jenayah rompak, meragut dan juga membunuh yang kebarangkalian besar dilakukan oleh golongan penagih dadah. Masyarakat dari negara lain juga akan memberikan prespektif yang negatif terhadap negara kita. Hal ini juga akan menyebabkan kepada penurunan ekonomi negara terutamnya dalam sektor pelancongan. Akibat kekurangan kemasukkan pelancong asing ke negara kita akibat masalah jenayah di negara kita.


ii.              Keruntuhan institusi kekeluargaan

 Masalah penagihan dadah sememangnya akan membawa perpecahan dalam sesebuah keluarga. Jikalau dalam sesebuah keluarga tersebut terdapat seorang penagih dadah. Oleh itu, berkemungkinan besar keseluruhan ahli keluarga tersebut akan dipinggirkan oleh masyarakat. Ahli keluarga juga akan mendapat malu apabila dihina dan dicerca oleh masyarakat setempat. Dalam hal ini, ibubapa  yang akan dipersalahkan oleh masyarakat kerana tidak tahu membimbing anak-anak dengan baik.

Selain itu, anak-anak yang terlibat dalam gejala penagihan dadah juga akan hilang rasa hormat terhadap ibubapa. Hal ini disebabkan seseorang yang mengambil dadah akan terlalu obses untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkan dadah. Antaranya memukul atau mencuri harta benda meskipun milik keluarga sendiri.

iii.            Kepada diri remaja itu sendiri
Masalah penagihan dadah akan mengundang pelbagai masalah kepada diri remaja itu sendiri. Antaranya memberi kesan buruk kepada masa depan remaja itu sendiri. Hal ini disebabkan seseorang remaja yang terlibat dalam masalah penagihan dadah sememangnya tidak dapat memberikan tumpuan  dalam pelajaran. Hal ini menyebabkan prestasi dalam pelajaran akan menurun dan secara tidak langsung akan melibatkan diri dalam gejala sosial. Oleh itu, mereka berkemungkinan besar akan dibuang dari sekolah atau instituisi pengajian tinggi.

Selain itu, golongan remaja yang terlibat dalam masalah penagihan dadah juga akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dewasa kelak. Hal ini disebabkan pandangan negatif masyarakat terhadap seseorang bekas penagih walaupun mereka sudah berubah.


- CARA-CARA MENGATASI MASALAH PENAGIHAN DADAH DIKALANGAN REMAJA -

i.              Peranan IbuBapa

Selaras dengan isu yang diutarakan , ibubapa harus memainkan peranan yang dominan. Mereka seharusnya  tidak bersikap materialistik, tetapi haruslah meluangkan masa untuk anak-anak. Mereka perlu menunjukkan teladan yang baik untuk anak-anak  dan tidak bersikap "Seperti Ketam,Mengajar Anaknya Berjalan lurus". Tindakan ibubapa meluangkan masa bersama-sama anak-anak akan menyebabkan anak-anak merasakan diri mereka disayangi. Selain itu,mereka akan berasa gembira bersama keluarga dan tidak akan keluar mencari keseronokkan yang boleh menyebabkan mereka terjebak dalam kegiatan penagihan dadah.

Ibubapa juga harus memainkan peranan dengan memantau pergerakan anak-anak. Ibubapa mesti memastikan anak-anak mereka bergaul dengan rakan yang positif supaya anak-anak mereka tidak terpengaruh dengan gejala sosial  seperti penagihan dadah.

ii.              Peranan kerajaan

 Sejajar dengan persoalan yang dibangkitkan, pihak kerajaan turut memainkan peranan dominan dalam usaha mengatasi masalah penagihan dadah kalangan remaja. Kempen Anti Dadah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dipergiatkan lagi di seluruh Malaysia. Semua sekolah khususnya sekolah menengah wajar menganjurkan aktiviti seperti melukis poster, ceramah dan kuiz bersempena dengan kempen tersebut. Kesedaran bahawa dadah itu musuh nombor saru negara haruslah disuntik dalam sanubari setiap pelajar.

Selain itu, kempen seperti ini juga patut dijalankan di seluruh IPTA dan IPTS di seluruh negara. Malah pihak sekolah, IPTA dan IPTS harus mengetatkan peraturan dengan mengenakan hukuman yang berat seperti dibuang sekolah atau diberhentikan pengajian, jika seseorang pelajar tersebut terlibat dalam masalah dadah. Khidmat kaunseling juga perlu disediakan untuk remaja yang disyaki terlibat dalam najis dadah.

iii.              Peranan masyarakat

Masyarakat juga memikul  tanggungjawab mencegah masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja. Pengawasan terhadap aktiviti-aktiviti remaja, terutamanya terhadap remaja lelaki harus dilakukan setiap masa. Walaupun ada pepatah melayu yang mengatakan "Jangan menjaga, Di tepi kain orang lain", tetapi pengecualian harus dibenarkan jika berurusan dengan masalah sosial terutamanya musuh negara iaitu dadah. Oleh itu masyarakat harus berganding bahu dengan pihak polis dan juga agensi-agensi anti dadah seperti PEMADAM bagi membanteras masalah ini.


- KESIMPULAN -

                Secara konklusinya, semua pihak seperti masyarakat, ibubapa dan pihak kerajaan patut bergerak senada dan setempo mengalaun rentak tari mengikut gendang yang dipalu untuk membasmi kemelut ini hingga ke akar umbinya. Sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing harus dihindari dalam sanubari semua lapisan masyarakat. Seperkara lagi masyarakat haruslah menggembleng tenaga bagi meminimumkan impak penagihan najis dadah dalam kalangan remaja. Remaja disifatkan sebagai pelapis generasi  dan pemimpin warisan pada masa akan datang.

                Pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara akan menjadi omongan hambar semata-mata jikalau masalah penagihan dadah semakin berleluasa. Bagi membentuk sebuah komuniti yang kukuh moral dan etikanya seiring dengan cabaran keempat Wawasan 2020, dadah haruslah dibasmi  agar Malaysia  dapat melahirkan pemimpin yang bakal membanggakan negara di masa hadapan.

Dihasilkan oleh:Amir Izri Zarriq Ismail (206109)

1 comment: