Friday, August 27, 2010

AJARAN SESAT


 
- PENDAHULUAN -

Dalam konteks Islam, ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada Islam yang berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


- FARTOR-FAKTOR AJARAN SESAT -

Timbulnya ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan sesat di dalam masyarakat Islam di Malaysia ini bukanlah satu perkara baru dan tidak disedari tetapi kadang-kadang ajaran sesat itu tidak dapat dikatakan sesat keseluruhannya kerana ada bercampur aduk diantara benar dan yang salah. Malah, yang paling rumit dan kritikal sekali ialah di dalam ajaran-ajaran berkenaan dikatakan betul oleh satu golongan dan dikatakan salah oleh golongan yang lain.

Namun begitu, masalah perselisihan pendapat ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya seperti orang yang memperkatakan tentang ajaran sesat itu mempunyai sikap dan niat tertentu. Di mana mereka beranggapan bahawa sesiapa yang cuba menilai ajaran tersebut tidak mengetahui betul-betul ajaran berkenaan.

Aliran atau ajaran dari kumpulan berkenaan mempunyai cara-cara pengajarannya mengikut peringkat-peringkat tertentu. Contohnya, pada peringkat awal sesuatu ajaran itu menonjolkan kebenaran tetapi pada akhirnya mengandungi ajaran dan kepercayaan yang mengelirukan. Malah, terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh itu ajaran tersebut tidak dapat dibincang dan dinilai oleh masyarakat secara terus atau terperinci. Pada dasarnya, akidah Islam adalah berpusat kepada kepercayaan kepada Allah, Malaikat, Rasul- rasul, Kitab, Qada’dan Qadar, dan percaya kepada hari akhirat.

Sehingga kini, hampir setiap buah negeri di Malaysia terdapat ajaran-ajaran yang disebarkan secara senyap-senyap dan adakalanya mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh agama tempatan. Malah kemunculan ajaran sesat di Malaysia adalah merupakan gabungan dari pengaruh sebelum Islam dan kepercayaan animisma serta kepercayaan kuno yang tidak berlandaskan syariat islam. Walaubagaimanapun, kemunculan ajaran sesat ini mendapat perhatian setelah berlaku peristiwa yang menumpahkan darah iaitu penyerangan kumpulan ajaran sesat yang bertopengkan “Tarikat Nurul Zaman” ke atas balai polis Batu Pahat Johor pada hari Khamis 16hb Oktober 1980 yang telah meragut 6 orang dari kumpulan penyerang dan mencederakan 23 orang awam.

 
- CIRI-CIRI DAN AMALAN AJARAN SESAT -

Terdapat pelbagai ciri bagi sesuatu ajaran sesat yang telah diwujudkan oleh golongan yang tertentu. Antaranya seperti mempunyai seorang ketua yang dipujakan sebagai dewa. Ketua ajaran tersebut biasanya mengakui diri mereka sebagai nabi dan mempunyai kuasa-kuasa tertentu yang dianggap istimewa yang tiada pada ahlinya. Oleh itu, setiap ahlinya perlu untuk mengikut segala yang diperkatakan oleh ketua mereka.

Malah, bagi menentukan sesuatu ajaran dan amalan itu sesat adalah berdasarkan kepada akidah yang dipegang oleh ajaran tersebut samada bertentangan dengan akidah Islam atupun tidak. Contohnya pengakuan menjadi Nabi Dan Rasul. Pengakuan tersebut secara terang-terangan adalah tidak benar dan dianggap sesat.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:



Tetapi ia adalah Rasulullah dan kesudahan segala Nabi-Nabi.



Selain itu, amalan yang dilakukan oleh sesuatu ajaran. Sekiranya terdapat sesuatau amalan, perlakuan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan syariat Islam adalah dikira amalan sesat. Contohnya, memansuhkan beberapa rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji sebagaimana yang telah dinyatakan. Malah, ada juga yang menolak kewajipan sembahyang Jumaat dengan alasan sembahyang boleh dilakukan secara ghaib iaitu dengan para Wali Allah.

Antara ciri-ciri lain ialah :

• Mengaku dirinya sebagai Nabi dan mendakwa menerima wahyu

• Mengakui gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi dan sebagainya.

• Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.

• Mendakwa pengikut-pengikut ajarannya sahaja akan masuk syurga.


 
- BENTUK-BENTUK AJARAN SESAT -

i. Bentuk Ajaran Baru

- Ajaran bentuk tarikat ini biasanya menggunakan berbagai-bagai nama seperti ajaran Crypto, oleh Mokhtar Hassan di Kluang Selangor, Ajaran Ilmu Hakikat oleh Jahar @ Jara b. Dumin.

ii. Bentuk Tarikat

- Ajaran bentuk Tarikat ini biasanya menggunakan nama-nama Tarikat yang masyhur. Melalui bentuk ini guru-gurunya menggunakan cara-cara yang berbeza dengan yang asalatau diubah suai. Ada juga Tarikat itu diciptakan sendiri oleh pengasasnya seperti Tarikat Zikrullah oleh Hasan Anak Rimau, Ayah Pin di Terengganu, Tarikat Khalid dan lain-lain.

iii. Bentuk Kepercayaan dan Amalan Tradisi

- Bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang dianggap Wali kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang, bomoh atau pembawa ilmu tertentu sama ada melalui menurun dan sebagainya

 
- CONTOH-CONTOH AJARAN SESAT -

i. Qadiani

- Pengasasnya ialah Mirza Ghulam Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 1908 Masihi. Nama Qadiani ialah sempena tempat lahir pengasasnya di Qadian iaitu sebuah kampung di Daerah Gusdapur, India. Ajaran ini mula muncul pada tahun 1889 Masihi dan dibawa ke Malaysia oleh Maulana Muhammad Sadiq bin Barakatullah pada tahun 1949 Masihi.
Ciri-ciri kesesatan ajaran Qadiani ialah:

• beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi, nabi, dan jelmaan Krisyna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu)

• beriktikad bahawa Allah S.W.T. menurunkan kepada Mirza Ghulam Ahmad sebuah kitab suci yang bernama Al-Tazkirah

• beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad memiliki sejuta jenis mukjizat

• menghapuskan jihad

• mengubah ayat Al-Quran seperti ayat 6 surah Al-Saf, ayat 52 surah Al-Haj, dan ayat pertama surah Al-Qadr

• mendakwa malaikat sebagai pancaindera Allah S.W.T

• mengisytiharkan Qadian sebagai tanah suci dan tempat menunaikan haji

• mendakwa bahawa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinegar, India

• menghukum kafir selain penganut Qadiani.


ii. Bahai

- Bahai diasaskan oleh Husain Ali Al-Mazandani yang meninggal dunia pada tahun 1892 Masihi. Bahai adalah nama sempena pengasasnya yang digelar sebagai Baha'ullah. Ajaran Bahai adalah lanjutan kepada ajaran Al-Babiah yang diasaskan oleh Ali Muhammad Al-Syirazi yang meninggal dunia pada tahun 1850 Masihi. Ajaran ini muncul di Iran pada tahun 1847 Masihi dan mula tersebar di Malaysia pada tahun 1953 melalui Yan Kee Leong.
Ciri-ciri kesesatan ajaran Bahai ialah:

• beriktikad bahawa pengasasnya ialah jelmaan Allah S.W.T.

• beriktikad bahawa semua agama adalah sama dan digabungkan dalam ajaran Bahai

• beriktikad bahawa alam ini bersifat baqa'(kekal)

• beriktikad bahawa kitab suci mereka iaitu Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi

• beriktikad bahawa Nabi Isa mati disalib

• mengagungkan kod 19 kononnya Al-Quran dipengaruhi oleh kod tersebut

• menolak kewujudan mukjizat, malaikat, syurga, dan neraka

• memansukhkan agama Islam

• menganggap Acre di Palestin sebagai kiblat baru

• mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti puasa 19 hari, solat sebanyak 9 rakaat dan dikerjakan 3 kali sehari, dan berwuduk dengan air mawar atau diganti dengan bacaaan Bismillahil Athar sebanyak lima kali.

 

iii. Taslim

- Taslim diasaskan oleh Haji Muhammad Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Muhammad Matahari. Ajaran ini mula wujud pada tahun 1870-an di Kampung Seronok di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan merupakan ajaran sesat yang paling tua di Malaysia. Ajaran ini juga mempunyai persamaan dengan kepercayaan Syiah Ismailiah Batiniah.
Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim ialah:

• beriktikad bahawa diri batin manusia ialah Allah dan diri zahir manusia ialah nur Muhammad

• beriktikad bahawa alam ini bersifat qadim

• mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut hawa nafsu

• mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin

• menolak kewujudan hari kiamat, syurga,dan neraka

• solat secara niat tanpa rukun qauli(perkataan) dan fikli (perbuatan)

• menganggap Haji Muhammad Matahari sebagai pemimpin yang maksum.



- KESAN AJARAN SESAT -

Kesan terhadap individu :

• boleh mengakibatkan akidah seseorang rosak. Hal ini kerana bagi orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah dan mereka wajib untuk bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam.

• masa banyak terbuang dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat.

• minda seseorang akan tertutup. Hal ini kerana pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Oleh itu, tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatik.

• kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat boleh membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa dalam keluarga.

Kesan terhadap masyarakat :

• keruntuhan institusi kekeluargaan. Keretakan keluarga boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka. Seterusnya menyakibatkan pergaduhan akibat perselisihan pendapat tersebut.

• perpaduan tergugat. Sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling. Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat

• berlaku keganasan. Kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

Kesan terhadap negara :

• Penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu. Seterusnya boleh mengakibatkan sesebuah negara itu menjadi mundur.

• negara tidak stabil. Penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.

 
- CARA MENGATASAI AJARAN SESAT -

Pelbagai cara boleh dilakukan dalam mengatasi masalah ajaran sesat yang semakin berleluasa di negara ini. Antaranya seperti seseorang individu itu perlu untuk melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Hal ini kerana Islam bukanlah hanya pada nama sahaja tetapi biarlah secara sebenar dan keseluruhannya melalui proses pembelajaran secara formal ataupun tidak formal. Contohnya seperti manghadiri kuliah ataupun ceramah-ceramah agama yang dianjurkan oleh pihak jabatan Agama Islam di masjid dan surau yang berdekatan dengan seseorang individu tersebut.

Seterusnya adalah dengan menyebarkan ajaran agama Islam kepada semua pihak secara terbuka dan berleluasa. Hal ini kerana ajaran Islam hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, seminar, forum dan simposium.

Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat. Bagi mereka yang telah terlibat dalam ajaran sesat, mereka perlulah dihantar untuk menghadiri program pemulihan akidah. Hal ini kerana orang yang terlibat dengan ajaran sesat amat memerlukan kepada program pemulihan akidah, Di Malaysia terdapat beberapa buah pusat pemulihan akidah seperti Pusat Pemulihan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam Selangor.
Disediakan Oleh : Nursyahamah Bt Mohd Hanafi (207387)

No comments:

Post a Comment