Friday, August 27, 2010

GENGSTERISME

- DEFINISI -

Samseng atau gengster merupakan seorang penjenayah yang bergerak dalam satu kelompok, geng, atau kumpulan. Samseng atau gengster terlibat dalam jenayah terancang iaitu dari jenayah ringan hinggalah jenayah bersenjata. Individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah atau masalah sosial akan membawa kepada penyelewengan tingkah laku dan kerosakan akhlak. Gengsterisme merupakan satu fenomena yang dianggap menular di kalangan remaja dewasa ini.

Malah, ia juga turut melibatkan golongan dewasa. Ini dapat dilihat di dada-dada akhbar mengenai perlakuan gengsterisme di kalangan orang dewasa yang kerap berlaku terutamanya berkaitan dengan kongsi gelap. Bagi remaja pula, ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian pelajar remaja dari segi akademik dan akhlak, malah boleh mengganggu gugat perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara. Mengikut laporan Kementerian Pelajaran semasa persidangan di Parlimen, statistik pada tahun 1999 hingga tahun 2001 bagi kesalahan membunuh 12 kes, merompak 51 kes, dan merogol 123 kes yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh negeri atas faktor-faktor tertentu.

- SEJARAH AWAL GENGSTERISME -

Ia bermula dengan penghijrahan masyarakat Cina dan India ke Malaya pada abad ke-18 dianggap sebagai titik permulaan tertubuhnya kumpulan atau geng di Malaysia. Migrasi masyarakat Cina terutamanya dari wilayah Kwantung dan Fukian akibat keadaan politik serta pernah menyertai aktiviti penggulingan Dinasti Manchu menyebabkan Malaya turut diresapi aktiviti ini.

Mereka yang paling aktif adalah dari kumpulan Ang Bin Hoay yang cuba mendapatkan ahli melalui sistem Kapitan iaitu menyatukan ahli untuk memastikan kepentingan mereka terpelihara. Aktiviti kumpulan-kumpulan ini tidak lagi berpusatkan kepada memelihara kepentingan ahli semata mata tetapi mula melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan bersifat jenayah seperti mencuri, membunuh, dan mengancam keselamatan orang ramai untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai kumpulan berpengaruh.

Dalam kalangan masyarakat India pula, pelabelan istilah geng bermula sejak tahun 1960-an apabila ramai remaja India mula terlibat dengan aktiviti yang menjurus kepada jenayah terutamanya dengan pengaruh dari kumpulan etnik Cina. Ada kumpulan yang menyamai aktiviti ini seperti mendapatkan wang perlindungan manakala ada pula yang bergaduh semata mata kerana isu wanita. Pada tahun 2000, 459 daripada 1560 buah sekolah menengah berhadapan dengan pelajar berisiko terlibat dalam gengsterisme.


- CONTOH-CONTOH AKTIVITI GENGSTERISME -

Menurut Haslina Hassan (2000), mendapati bahawa delinkuen dan tindakan ganas oleh para remaja merupakan perlakuan yang diwariskan oleh para remaja lelaki yang lebih tua kepada yang lebih muda dan aktiviti-aktiviti tertumpu beberapa kawasan di luar sekolah. Antara contoh-contoh aktiviti gengsterisme ialah :

i. Buli

- Buli merupakan satu bentuk penyalahgunaan. Buli boleh berlaku dalam bentuk ejekan, ugutan, tekanan, atau tindakan fizikal serta secara tidak langsung menyebabkan seseorang pelajar terpinggir dari kawan-kawannya. Buli berlaku atas sebab seseorang individu tidak menurut arahan si individu lain yang dianggap menguasai sesuatu kawasan. Ini akan menimbulkan kemarahan individu tersebut dan berlakunya aktiviti pukul memukul di mana ia turut dilakukan oleh ahli kumpulan individu tersebut. Kebanyakan kes buli berlaku di dalam atau di luar sekolah di mana ianya menimbulkan suasana yang tidak selamat di sekolah. Buli juga turut melibatkan antara masyarakat dengan masyarakat, ataupun pelajar dengan guru.

ii. Kongsi gelap

- Kongsi gelap merujuk kepada kumpulan jenayah yang sudah tentunya tidak berdaftar di sisi undang-undang. Kumpulan kongsi gelap biasanya terbabit dalam kegiatan haram, iaitu tidak sah di sisi-undang-undang, bagi membiayai kegiatan mereka. Biasanya kumpulan ini menjadikan perniagaan dadah, rompakan, ceti haram, perjudian haram, pelacuran, dan penjualan cakera padat cetak rompak sebagai aktiviti utama. Antara ciri-ciri utama kongsi gelap adalah orang atasan atau ketua akan mencarikan atau menjalankan perniagaan haram yang mana akan diuruskan oleh orang-orang bawahan.

- Orang atasan atau ketua berhak mengambil wang dari orang bawahan sendiri walaupun atas alasan apa sekali pun. Ini kerana pihak atasan memberi pekerjaan dan punca pendapatan kepada ahli bawahan dan sebagai balasan ahli perlu berkorban untuk ketua dan kumpulannya. Kebiasaannya kegiatan mereka sukar dihidu oleh pihak berkuasa kerana mereka licik dalam menjalankan operasi.

iii. JENAYAH

- Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang kerajaan sesuatu tempat. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan penjenayah di mana mereka ini boleh dikenakan hukuman yang berat bergantung pada jenayah yang mereka lakukan. Perlakuan jenayah adalah perkara-perkara yang boleh memberikan masalah atau kesusahan kepada orang lain. Sebagai contoh, mencuri, mencedera, dan membunuh orang lain adalah perbuatan jenayah.

- FAKTOR-FAKTOR TERJADINYA GENGSTERISME -

i. Institusi keluarga

Keluarga merupakan faktor utama di mana berlakunya masalah sosial di kalangan belia atau individu. Arus pemodenan yang pesat di dalam negara sememangnya penting untuk peningkatan taraf hidup tetapi sikap sesetengah ibu bapa yang lebih berkecenderungan untuk mengumpul kekayaan dan bekerja di luar rumah menyebabkan remaja terabai atau tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Segala keperluan dan kemewahan untuk anak-anak disediakan tanpa memikirkan akibat yang bakal berlaku.

Ada kalanya anak-anak terlalu dimanja di mana setiap permintaan mereka ditunaikan. Selain itu, ada di kalangan ibu bapa yang tidak memberi perhatian sepenuhnya terhadap anak-anak kerana terpaksa bekerja untuk menampung kos sara hidup dan mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan. Penderitaan ini tidak difahami oleh golongan remaja walaupun mereka sedar namun sukar untuk mendapat bimbingan memandangkan kehidupan keluarga yang mendesak perlu diatasi dengan pengorbanan masa bekerja.

Ada remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif di dalam aktiviti gengsterisme kerana sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggungjawab mereka ke atas anak-anak mereka. Keadaan sosial ini boleh mempengaruhi pendidikan anak-anak dari keluarga ini. Masalah lebih rumit di kalangan keluarga yang mempunyai bapa atau ibu tunggal. Pendapatan dari pekerjaan sering tidak mencukupi dan mengharapkan ahli keluarga lain menampung perbelanjaan kehidupan. Ini berbeza dengan bapa tunggal yang lazimnya di label sebagai sukar memberi kasih sayang apatah lagi jika mengabaikan tanggungjawab dan peranan sebagai ketua keluarga. Lantaran itu, remaja ini mencari pilihan lain sebagai tempat untuk mendapatkan perhatian, misalnya di kalangan rakan-rakan.

James Becker mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang baik.

ii. Pengaruh rakan-rakan

Rakan sebaya dianggap orang kedua yang paling rapat dengan diri seseorang individu. Ini kerana mereka dianggap orang yang memahami masalah dan kehendak rakan mereka. Bergaul dengan rakan-rakan yang salah menyebabkan seseorang remaja terkeluar dari kehidupan yang betul malahan apabila berada di dalam satu kelompok, mereka akan mewujudkan satu kumpulan yang dinamakan geng. Mereka akan melantik seorang ketua untuk mengetuai kumpulan ini dan bersikap seperti seorang samseng.

Pengaruh kuat kumpulan menyebabkan sebilangannya diambil menjadi anggota kumpulan geng ini. Aktiviti mereka bersifat memberontak. Berpegang kepada ideologi kumpulan menyebabkan masing-masing menunjukkan kesetiaan kepada ahli kumpulan dan sering bersama membantu mengatasi sebarang masalah baik yang melibatkan pergaduhan, kewangan, atau mempertahankan kesalahan ahli kumpulan sekiranya kegiatan mereka berjaya dikesan.

iii. Kekuatan diri sendiri

Sikap remaja sendiri penting untuk mengelakkan diri mereka terbabit dalam gengsterisme. Mereka yang terlibat adalah remaja yang tidak mempunyai haluan hidup dan desakan keluarga. Mereka hilang tumpuan dalam aktiviti pembelajaran kerana sikap inferioriti di kalangan mereka sendiri berbanding dengan pelajar yang rajin. Ketiadaan ‘ role model’ yang sesuai dianggap faktor pendorong pembabitan mereka dalam gengsterisme.

iv. Kesan persekitaran

Tempat tinggal yang tidak selesa dengan ahli keluarga yang ramai di rumah yang kecil dan sempit membuatkan mereka lebih selesa berada di luar rumah. Ini dapat dilihat mereka yang tinggal di kawasan setinggan atau kawasan rumah pangsa. Lebih lagi kediaman begini sering dikaitkan dengan lokasi kumpulan gengsterisme. Ada pula yang sengaja memberi gelaran lokasi tersebut adalah kawasan mereka bagi menggertak orang sekitarnya. Keadaan ini lebih berleluasa apabila terdapat ketua gengsterisme yang memberi galakkan dan sokongan untuk bergaduh serta menterjemahkan kuasa ke dalam bentuk tindakan gengsterisme.

v. Media massa

Media massa terbahagi kepada media elektronik dan media cetak. Media banyak memaparkan tingkah laku yang tidak baik terutamanya zaman sekarang yang dipanggil zaman siber. Segala kehendak berada di hujung jari iaitu dengan menggunakan internet, remaja akan memperoleh apa yang diinginkan. Aksi, pertuturan, dan tingkah laku yang ditayangkan melalui filem menjadi ikutan seolah-olah watak tersebut menjadi hero atau model kepada penontonnya. Pembentukan personaliti melalui media elektronik dapat mempengaruhi penonton apabila ia diterjemahkan ke alam realiti.

vi. Didikan agama

Secara amnya, jika seseorang itu mempunyai asas atau didikan dalam agama, sekurang-kurangnya dapat membendung daripada melakukan gejala yang tidak sihat kerana Islam amat menekankan pembentukan akhlak yang baik. Sekurang-kurangnya, mereka akan terfikir apakah kesannya jika melakukan sesuatu perbuatan yang melanggar etika dan moral individu.


- CARA MENGATASI KEGIATAN GENGSTERISME -

i. Peranan ibu bapa

Ibu bapa merupakan pembentuk utama dalam konteks pembangunan sahsiah dan proses sosialisasi anak-anak. Ibu bapa perlu mengetahui aktiviti harian, rakan-rakan, dan apa yang diperlukan oleh anak-anak. Keprihatinan ibu bapa terhadap anak, hubungan dengan pihak sekolah, secara tidak langsung menjadi idola dan rakan kepada anak serta memudahkan mereka untuk meluahkan masalah mereka kepada ibu bapa. Ibu bapa perlu menunjukkan sifat kasih sayang terhadap anak-anak supaya mereka tidak rasa terpinggir. Contoh teladan yang baik adalah daripada ibu bapa yang menjadi ikutan anak-anak.

ii. Peranan sekolah

Pihak sekolah perlu lebih peka dengan masalah gengsterisme yang semakin berleluasa kerana ia melibatkan hubungan pelajar dengan pihak luar yang tidak dikenali. Pihak sekolah perlu memperbanyakkan aktiviti kokurikulum yang melibatkan para pelajar contohnya unit beruniform, kelab-kelab, persatuan, dan program-program kerjasama yang dapat membina sahsiah diri murid. Dengan adanya Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) secara tidak langsung pihak sekolah dapat berkomunikasi dengan ibu bapa mengenai anak mereka.

iii. Peranan masyarakat

Masyarakat merupakan ‘ mata ‘ kepada ibu bapa terhadap kegiatan anak-anak di luar rumah. Ini kerana kegiatan gengsterisme turut melibatkan masyarakat sekitar. Peranan badan-badan sosial dapat membantu dalam mengatasi kegiatan gengsterisme. Dalam keadaan-keadaan tertentu, masyarakat ada kalanya menjadi mangsa kegiatan tersebut. Ini membuatkan masyarakat tidak mahu mengambil tahu apa yang terjadi di sekitar mereka.

iv. Peranan kerajaan

Setiap perancangan aktiviti adalah bermula daripada pihak atasan iaitu kerajaan. Kerajaan dengan kerjasama kementerian-kementeriannya banyak mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemasyarakatan seperti program keagamaan, gotong-royong, riadah, dan sebagainya. Manakala kerjasama kerajaan dengan pihak sekolah pula adalah seperti program bina insan dan PLKN di mana mereka diterap dengan nilai-nilai sahsiah diri yang baik.

v. Peranan media

Media memainkan peranan utama dalam membantu menangani masalah gejala sosial. Keprihatinan media massa atau elektronik terhadap kegiatan gengsterisme dapat membantu pihak lain menanganinya dengan lebih mudah. Program-program televisyen yang ditayangkan perlulah lebih banyak terarah kepada kekeluargaan dan keagamaan. Selain itu, setiap rancangan perlu ditapis terlebih dahulu sebelum ditayangkan. Pada masa kini, remaja lebih menjadikan artis kegemaran mereka sebagai contoh ikutan, oleh itu secara tidak langsung, pihak artis turut terlibat dalam menangani gejala ini.

Disediakan Oleh : Aisyah Bt Samsudin (207533)


1 comment:

  1. Huraian yang lengkap tentang gengsterisme. Tapi bukan hanya imigran yang menjadi gengster malah Melayupun ada juga segelintir gengster. Anda tidak boleh mengatakan bahawa imigran yang menjadi gangster.

    ReplyDelete