Remaja memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara di mana golongan ini pada masa akan datang dapat merubah keadaan negara umumnya, sama ada perubahan secara positif atau negatif. Oleh itu, remaja perlu mempunyai tahap intelektual serta sahsiah diri yang tinggi supaya mereka akan dihormati dan bakal menjadi pemimpin yang mampu membuat perubahan yang positif dalam membangunkan negara.
Namun pada masa kini, kebanyakan golongan remaja sudah tidak berada di landasan seperti yang diharapkan oleh masyarakat. Mereka lebih terlibat dengan perkara-perkara yang hanya memberikan kepuasan dan keseronokan dalam kehidupan mereka. Mereka juga lebih terdedah kepada masalah-masalah sosial terutamanya dan ini banyak memberi kesan kepada masyarakat dan negara. Antaranya, mereka terlibat dengan musuh nombor satu negara iaitu dadah, vandalisme, seks bebas dan sebagainya. Pernah suatu ketika dahulu, masyarakat didedahkan dengan isu “Mat Rempit” di Malaysia yang telah banyak menarik perhatian pelbagai pihak.
- APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN “MAT REMPIT”? -
Mat Rempit merupakan bahasa tidak formal yang digunapakai oleh golongan masyarakat, khususnya golongan remaja yang menunggang motosikal dengan cara yang menyalahi undang-undang jalan raya. Satu lagi istilah yang turut digunapakai oleh golongan ini adalah “Minah Rempit” yang merujuk kepada pasangan kepada Mat Rempit ataupun merujuk kepada pelumba wanita.
Antara contoh tunggangan golongan ini menunggang motosikal adalah dengan memandu melawan arus jalan raya, menunggang motosikal melebihi had kelajuan yang ditetapkan, mengubahsuai motosikal dengan ciri-ciri yang tidak dibenarkan, menunggang dengan hanya menggunakan sebelah tayar motosikal dan segala bentuk atau jenis tunggangan yang boleh membahayakan penunggang motosikal tersebut serta pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Mat Rempit juga merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang telibat dalam perlumbaan haram.
Golongan remaja biasanya yang selalu terlibat dengan kumpulan yang mendapat gelaran Mat Rempit kerana faktor usia mereka yang sedang meningkat mempengaruhi mereka untuk mencuba sesuatu yang boleh memberikan cabaran kepada mereka. Golongan ini tidak menghiraukan bahaya yang mungkin akan timbul kerana pada usia tersebut mereka hanya mementingkan kepuasan dan keseronokan dan apabila mereka telah mendapat perhatian daripada masyarakat, mereka menjadi lebih taksub untuk mempamerkan aksi-aksi tunggangan mereka. Mat Rempit akan berasa lebih hebat apabila mendapat perhatian media. Bermula daripada pertunjukkan aksi di litar-litar haram sehinggalah menimbulkan kekecohan dan pergaduhan sama ada sesama kumpulan mereka sendiri atau dengan kumpulan lawan serta pengguna-pengguna jalan raya yang lain dan juga masyarakat awam.
Mat Rempit biasanya akan berkumpul dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu dan mereka banyak dikaitkan dengan kegiatan gangster, rompakan berkumpulan, pergaduhan, salah laku, kecurian dan juga buli. Kebanyakan motosikal yang digunakan oleh Mat Rempit tidak memenuhi piawaian ataupun telah diubahsuai. Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, tidak membayar cukai jalan dan ada juga yang menaiki motosikal curi.
- FAKTOR YANG MENDORONG AKTIVITI REMPIT -
Antara faktor-faktor yang membawa kepada gejala “merempit” ini adalah kurangnya perhatian yang menyeluruh daripada ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk akhlak dan peribadi anak-anak. Pendidikan awal adalah amat diperlukan bermula dari rumah dan ibu bapa perlu memberikan contoh yang terbaik terhadap anak-anak dengan menunjukkan nilai-nilai murni untuk dijadikan panduan kepada anak-anak.
Pemantauan dan kawalan terhadap anak-anak adalah perlu dititikberatkan supaya generasi ini tidak akan menyimpang dan terkeluar dari landasan yang telah ditetapkan. Kelalaian dan pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak akan mendorong mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti “merempit” tanpa halangan. Tanpa hubungan kekeluargaan yang rapat akan menyebabkan remaja menjadi lebih tidak terkawal dan ini akan menjejaskan masa depan mereka sendiri.
Di samping perhatian ibu bapa ke atas aktiviti dan juga perlakuan anak-anak mereka, setiap kenalan anak-anak turut perlu dipantau bagi memastikan mereka tidak salah dalam memilih kawan. Ini adalah kerana rakan-rakan adalah yang paling mempengaruhi remaja untuk terjerumus ke dalam masalah-masalah sosial seperti rempit. Dorongan dan cabaran daripada rakan-rakan dapat membangkitkan lagi semangat mereka yang terlibat dalam aktiviti ini. Oleh itu, pemilihan rakan perlu dititikberatkan oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka tidak tersilap dalam memilih rakan.
Selain itu, ganjaran dalam setiap perlumbaan turut mempengaruhi Mat Rempit untuk terus berlumba pada setiap masa dan antara habuannya adalah seperti wang tunai dan “bohsia”. Pengaruh daripada media juga turut menjadi penyumbang kepada masalah ini di mana kebanyakan pengarah kini mudah untuk mengambil kesempatan ke atas isu rempit dengan menjadikannya sebagai jalan cerita.
- KESAN-KESAN AKTIVITI “MEREMPIT” -
Rempit akan mengakibatkan banyak kesan dan masalah-masalah lain dan antaranya ialah meningkatkan kadar kemalangan jalan raya, kes-kes ragut atau rompakan berkumpulan, seks bebas dan juga pergaduhan. Kebanyakan Mat Rempit terlibat dengan kecurian motosikal dan kebolehan mereka menunggang dengan had kelajuan yang tinggi serta dengan teknik-teknik tertentu memberi peluang kepada mereka untuk terjerumus dengan ragut jalanan.
Pihak berkuasa pula sukar untuk menjejaki kenderaan-kenderaan yang hilang khususnya motosikal kerana penjenayah ini hanya akan mengambil alat-alat gantian yang diperlukan daripada motosikal yang telah dicuri untuk diubahsuaikan kepada motosikal mereka untuk menghasilkan motosikal yang lebih berkuasa tinggi. Pengubahsuaian yang dilakukan ini akan dipertontonkan kepada rakan dan juga lawan mereka untuk beradu kehebatan motosikal dan memulakan perlumbaan.
Kehadiran kenderaan-kenderaan lain di litar haram mereka akan lebih memberikan cabaran dan keseronokan dalam perlumbaan mereka tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Mereka beraksi di celah-celah kereta yang penuh sesak untuk mendapatkan perhatian orang ramai dan aktiviti ini selalunya akan berakhir dengan kemalangan atau tragedi ngeri yang kadangkala boleh membawa kepada kematian. Ini sekaligus akan meningkatkan kadar kemalangan jalan raya dalam negara.
- KESIMPULAN -
Oleh itu, masyarakat harus bekerjasama dalam mencari penyelesaian terhadap isu ini. Undang-undang sahaja tidak mampu untuk mengekang atau menghalang remaja untuk terjebak dalam masalah ini. Bermula daripada pengawasan daripada ibu bapa sehinggalah penapisan kepada filem-filem atau aksi-aksi bahaya yang melibatkan permotoran yang ditayangkan oleh pihak media. Selain itu, pihak berkuasa pelu mencari alternatif lain yang lebih berkesan dalam menangani masalah ini seperti kumpulan rempit yang disabitkan kesalahan diwajibkan melakukan kerja-kerja amal dan merampas terus motosikal mereka.
Seperti yang telah kita ketahui, kewujudan Mat Rempit ini banyak memberikan impak negatif kepada keseluruhan masyarakat serta negara. Perlu dijelaskan di sini, masyarakat perlu bekerjasama dalam membanteras masalah sosial ini. Walaupun isu rempit kini sudah berkurangan, masyarakat masih lagi perlu bekerjasama dalam membanteras masalah-masalah sosial yang lain yang kini telah hangat diperkatakan dan semakin meningkat dari masa ke semasa, contohnya kes pembuangan bayi. Generasi sekarang perlu diberikan kesedaran dan perhatian serta pendidikan dalam segala aspek sejak dari awal bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan masalah sosial pada masa hadapan.
Disediakan Oleh : Nurul 'Ain Bt Abdul Manan (207548)
CONTOH KES DALAM KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
Mat rempit berleluasa
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 Mei – Memeranjatkan!
Operasi besar-besaran menangani aktiviti lumba haram di seluruh negara selama dua hari sejak kelmarin, bukan setakat berjaya memberkas pesalah trafik malah mendapati 235 daripadanya adalah remaja bawah umur.
Pada saat rakan sebaya mereka sibuk menelaah pelajaran di rumah, golongan remaja itu pula membahayakan diri merempit bersama-sama penunggang dewasa lain.
Dalam operasi yang diadakan serentak di ibu negara, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor itu, tiga remaja berusia bawah 15 tahun ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ‘merempit’ itu.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof memberitahu, pihaknya memandang serius penglibatan golongan belia terutama remaja bawah umur dengan aktiviti lumba haram.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran operasi serupa akan diteruskan dari semasa ke semasa dan dipertingkatkan dengan penglibatan agensi penguat kuasa lain, khususnya di Lembah Klang.
“Semua remaja bawah umur yang ditahan telah disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan manakala tiga yang terlibat dalam lumba haram disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, ketika kejadian, tiga remaja terbabit melakukan aktiviti lumba haram bersama 15 penunggang motosikal dewasa yang turut ditahan.
Pihak polis yang memantau pergerakan kumpulan terbabit, katanya, telah merakamkan aksi-aksi lumba haram sebelum tangkapan dibuat.
Malam kelmarin, lebih 500 mat rempit diperiksa manakala 115 motosikal telah disita di Dataran Merdeka, di sini malam kelmarin.
Abdul Aziz berkata, dalam tempoh dua hari tersebut, sebanyak 3,011 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya telah dikeluarkan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 peratus kesalahan kerana tidak memiliki lesen dan cukai jalan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar meminta kerjasama ibu bapa memantau pergerakan anak mereka agar tidak terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral tersebut.
“Ini kerana kebanyakan ibu bapa kepada anak yang terlibat ketika hadir untuk membayar saman mendakwa tidak mengetahui kegiatan anak masing-masing.
“Ibu bapa perlu bertanggungjawab dan memiliki akauntabiliti dalam mendidik anak-anak supaya mereka tidak menyesal di kemudian hari apabila kejadian tidak diingini berlaku.
“Penglibatan remaja dalam kumpulan mat rempit dipengaruhi oleh rakan-rakan serta tanpa pemantauan ibu bapa,” katanya.
No comments:
Post a Comment