Secara umumnya masalah sosial merupakan perlakuan negatif atau buruk anggota masyarakat yang tidak membawa kebaikan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang dijalankan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara tersebut. Masalah sosial boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti rempit, salah guna dadah, vandalisme, anak derhaka, buli, buang anak dan lain-lain lagi. Masalah sosial kebanyakannya melibatkan golongan remaja yang merupakan pemangkin masa depan negara. Masalah sosial yang ingin dikupas dalam artikel ini ialah anak derhaka atau istilah lain dikenali sebagai si tanggang moden.
Dewasa ini, berita berkaitan anak derhaka acapkali kedengaran di dada-dada akbar dan juga di kaca televisyen yang berkaitan salah laku anak terhadap orang tua mereka. Anak derhaka ini diibaratkan seperti “kacang lupakan kulit”, yang mana apabila telah mencapai kejayaan mereka terus melupakan jasa ibu bapa mereka. Kebanyakan ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan dan penjagaan yang terbaik.
Namun, nasib yang sama belum tentu diterima ibu bapa. Apabila usia mereka mula meniti senja, mereka dilupakan begitu sahaja. Sikap segelintir anak muda zaman sekarang tidak ubah umpana Si Tanggang dalam dongeng Melayu yang mana telah melupakan ibu bapanya yang sudah tua setelah dia menjadi kaya dan berkahwin dengan puteri raja. Si tanggang juga bukan hanya melupakan ibu bapanya malah telah mencerca dan memaki hamun mereka tanpa ada sedikit pun perasaan belas ikhsan.
- FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA DERHAKA -
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada berleluasanya budaya derhaka dan gejala kurang sihat dalam kalangan anak muda dewasa ini. Antara faktornya ialah kurang didikan agama, kesilapan ibu bapa itu sendiri, pengaruh media massa, pengaruh rakan dan faktor terakhir ialah kelemahan sistem pendidikan.
i. Kurang didikan agama
- Sudah menjadi lumrah kepada masyarakat pada zaman ini yang lebih mementingkan ilmu duniawi berbanding ilmu keagamaan atau kerohanian. Ilmu duniawi dianggap ilmu yang menjamin masa depan berbanding ilmu agama. Akibatnya unsur kerohanian tidak dapat disemai dalam diri anak-anak hingga mereka tidak tahu yang mereka perlu taat kepada ibu bapa.
- Malah, mungkin ada kalangan anak hari ini yang tidak faham apa itu erti derhaka. Malah ada juga anak-anak yang dihantar ke kelas agama oleh ibu bapa yang kemudianya melencong ke tempat lain. Ada juga anak muda zaman sekarang yang berpendapat bahawa ilmukeagamaan adalah ilmu yang tidak penting dan dianggap sebagai ‘kolot’.
ii. Kesilapan ibu bapa itu sendiri
- Anak yang dilahirkan diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan hala tuju dan masa depan anak berkenaan, justeru dalam hal ini ibu bapa tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak lain atas kesilapan diri sendiri. Ibu bapa zaman sekarang yang kebanyakan bekerja terlalu sibuk mencari nafkah dan mengumpul harta dunia hingga mengabaikan anak-anak yang dahagakan belaian kasih sayang mereka.
- Mereka hanya melimpahkan anak mereka dengan harta kekayaan hingga tidak sedar bahawa anak mereka hanya memerlukan tumpuan dan perhatian ibu bapa. Hal ini akhirnya akan memerangkap keluarga mereka sendiri. Anak yang sebahagian besar masanya dihabiskan dengan pembantu rumah atau di tadika dilihat tidak dapat merasakan nikmat kasih dan sayang daripada ibu bapa sendiri. Akibatnya anak-anak ini membesar menjadi anak yang mudah memberontak, melawan cakap dan memberi arahan kepada orang di sekeliling mereka.
iii. Pengaruh rakan sebaya
- Rakan yang mana sering menjadi tempat meluahkan segala masalah dan juga berkongsi kegembiraan mempunyai pengaruh yang besar ke atas anak zaman ini. Mereka kadang kala lebih mendengar kata, pendapat, pandangan dan nasihat rakan berbanding ahli keluarga sendiri. Jika salah pilih kawan, maka salahlah tingkah laku dan sikap anak berkenaan. Misalnya anak yang bergaul dengan rakan yang tidak mempunyai didikan yang baik serta amalan budaya yang kurang sihat pastinya akan turut mempengaruhi tingkah laku anak kita.
v. Pengaruh media massa
- Terutama media elektronik melalui program televisyen yang terlalu mengagungkan rancangan Barat. Budaya masyarakat Barat yang tidak mementingkan nilai murni seperti membolehkan berkurang ajar dengan ibu bapa sendiri dilihat sangat mempengaruhi gelagat anak kita di rumah. Adegan yang ditonton sering kali menjadi gaya ikutan mereka dalam kehidupan seharian. Kebanyakan filem barat selalu memaparkan anak-anak yang memberontak dan mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar.
v. Kelemahan sistem pendidikan
- Sistem pendidikan kita yang lebih mengutamakan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan dilihat semakin mudah meragut unsur kemanusiaan dan pembangunan modal insan yang patut diterapkan dalam diri setiap pelajar sekolah. Akhirnya mereka membesar seperti mesin ataupun robot yang tidak kenal erti kasih sayang kepada ahli keluarga.
- Satu kajian yang dijalankan beberapa pensyarah Institut Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati dengan bilangan warga emas (60 tahun ke atas) bakal mencapai jumlah 2.2 juta orang menjelang tahun 2020, jumlah anak derhaka juga dijangka bertambah. Pertambahan itu didorong oleh sikap anak-anak muda zaman moden yang memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk menempatkan ibu bapa mereka di rumah-rumah penjagaan warga emas.
- KESIMPULAN -
Kesimpulannya, masalah sosial berkaitan anak derhaka ini perlulah diambil perhatian serius bagi mengelakkan perkara ini menjadi masalah yang akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara. Masalah ini perlu ditangani oleh semua pihak tidak kira siapakah anda.
Disediakan Oleh : Syariza Bt Semi (207470)
No comments:
Post a Comment