Tuesday, August 31, 2010

SUMBANG MAHRAM


-PENGENALAN-

Dalam arus pemodenan ini, gejala sosial semakin menjadi-jadi disebabkan teknologi yang canggih mengakibatkan ramai golongan remaja menggunakan teknologi dengan cara yang salah dan ini boleh menyumbangkan kepada kegiatan yang tidak sihat seperti menjadikan koleksi video lucah sebagai bahan utama untuk menjalankan aktiviti menjual beli di kedai-kedai video dan di lorong-lorong untuk mendapatkan keuntungan semata- mata tanpa menghiraukan kesan buruk pada orang disekeliling. Antara gejala sosial yang sering terjadi adalah pembuangan bayi yang hampir setiap hari ada sahaja laporan tentang kes pembuangan bayi tanpa belas kasihan.

Lebih menakutkan lagi fenomena sumbang mahram merupakan masalah hangat yang diperkatakan. Sejak beberapa kebelakangan ini, acapkali berita tentang terjadinya sumbang mahram terhias di dada-dada akhbar. Terdapat pelbagai Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat khasnya melaungkan suara perjuangan mereka. Terutama sekali kerana mangsa yang terlibat adalah seringkali merupakan kanak-kanak perempuan atau gadis di bawah umur.



 -DEFINISI SUMBANG MAHRAM-

Mengikut pengertian Kamus Dewan perkataan ‘sumbang’ membawa erti tidak mematuhi adat, melanggar adat, tidak sopan dan lain-lain. Perkataan ‘mahram’ pula, adalah merupakan variasi kepada perkataan ‘muhrim’ yang membawa maksud lelaki dan perempuan yang diharamkan berkahwin menurut agama islam. Bagi pengertian aspek keagamaan ‘ sumbang mahram adalah perhubungan di antara seorang lelaki dan perempuan yang dilarang bernikah oleh adat dan agama’. Selain itu, dari segi istilah juga melihat sumbang mahran ini adalah ‘pencabulan seks yang berlaku di kalangan anggota keluarga di mana perkahwinan sesama sendiri ditegah.
 
 

-FAKTOR-FAKTOR SUMBANG MAHRAM-

Terdapat dua faktor yang mendorong terjadinya perbuatan sumbang mahram ini, iaitu:
i Faktor Dalaman

Pendorong kepada terjadinya sumbang mahram adalah golongan ini sangat taksub kepada seks di mana golongan lelaki tidak berfikir panjang kesan dan akibat merogol tetapi hanya melayani hawa nafsu yang telah menguasai jiwa.

Selain itu, lelaki yang kerap mengalami tekanan emosi akibat perasaan rendah diri, pengetahuan agama yang cetek atau dengan lebih tepat tahap iman yang lemah juga merupakan faktor lelaki merogol kerana mereka gagal berhubung dan menyalurkan naluri serta nafsu seks secara normal.

Faktor dalaman yang terakhir adalah kesibukan tugas isteri menyebabkan suami akan mengambil peluang ini dengan menghampiri dan melakukan perkara yang tidak elok ke atas anak perempuan mereka semasa ketiadaan isteri di rumah. Kebanyakkan isteri mengetahui perlakuan sumbang mahram adalah salah tetapi atas sebab rasa malu atau takut kehilangan suami menyebabkan mereka rela suami melakukan perkara tersebut daripada membenarkan suami mereka mencapai kepuasan di luar agar kelemahan dan kegagalan mereka dalam hubungan suami isteri diketahui umum.

ii Luaran

Keruntuhan institusi kekeluargaan yang mana ibu bapa yang tidak mempunyai persefahaman dalam rumahtangga mereka. Hal ini, boleh memberi kesan kepada anak-anak mereka yang akan memberontak dan sekaligus akan terjebak dengan gejala sosial ini.

Faktor kurang kawalan ibu bapa di dalam atau di luar rumah juga penyebab berlakunya kes sumbang mahram iaitu ibubapa tidak mengetahui di mana anak mereka berada, dengan siapa mereka keluar, di mana lokasinya. Isu ini juga diambil kira kerana anak-anak merasakan mereka tidak dikawal bahkan mereka boleh mengambil kesempatan ke atas sikap ibu bapa yang sambil lewa dalam menjejaki anak-anak mereka.

Selain daripada itu, pengaruh negatif media cetak dan elektronik yang mana menyalahgunakan teknologi maklumat yang sedia ada yang mana golongan ini kerap mengunjungi ke ruangan video-video yang negatif dan sekaligus boleh menyebabkan mereka ingin mencuba gaya atau aksi yang ditonjolkan seterusnya adik-beradik yang menjadi mangsa mereka.

Faktor terakhir sekali adalah tahap ekonomi yang rendah yang mana keadaan rumah adalah sempit dan menyebabkan adik beradik tidur bercampuran seperti adik dan abang. Kes ini kebiasaanya terjadi jika pergaulan adik dan abang yang tiada batasan iaitu berpakaian terlalu terdedah tanpa segan silu dan ini boleh menyebabkan abang melempiaskan nafsu kepada adiknya sendiri tanpa memikirkan perbuatan itu adalah dilarang dari agama Islam.
 


 -KESAN-KESAN SUMBANG MAHRAM-

i Kesan terhadap mangsa

Terdapat kesan fizikal yang seringkali menjadi petunjuk terhadap penderaan seksual yang berlaku kepada remaja atau kanak-kanak tersebut. Antaranya adalah kecederaaan pada kemaluan dan dubur, bengkak atau berdarah, kecederaan tubuh badan akibat dikasari, jangkitan penyakit kelamin, berat badan naik mendadak akibat ketidakseimbangan hormon atau selera makan yang berubah secara tiba-tiba, perubahan jadual tidur dan gangguan tidur di samping mangadu sakit perut.

Terdapat juga kesan-kesan yang boleh diperhatikan dari segi tingkah laku dan perwatakan seperti perubahan emosi, takut kepada seseorang dan sesuatu tempat apabila bersendirian, berkelakuan jauh lebih dewasa, tidak suka disentuh, merendahkan diri, gemar mengasingkan diri, perasaan ingin tahu terhadap seks yang tinggi, perasaan ingin bunuh diri akibat tekanan perasaan, penyalahgunaan dadah, takutkan hubungan intim, keyakinan diri yang rendah, perasaan bersalah dan sering marah orang yang berada di sekelilingnya.

Seandainya tidak ditangani dengan sempurna, kesan dari kejadian tersebut terbawa-bawa hingga ke peringkat remaja dan dewasa. Antara kesan-kesan yang biasa ditunjukkan adalah perasaan dendam menyebabkan mangsa menjadi pendera kanak-kanak dan lain-lain lagi.
Mangsa sumbang mahram ini, selalunya mempunyai kesan psikologi yang tinggi. Perasaan benci akan tumbuh di hatinya manakala perasaan hormatnya akan hilang terhadap kaum kerabat yang melakukan perbuatan tersebut. Di samping itu juga, mangsa mungkin mengalami gangguan psikologi atau tekanan jiwa sekaligus kepercayaan terhadap keluarga terutama kepada pelaku akan musnah sama sekali.

ii Kesan terhadap Masyarakat.

Hasil daripada perbuatan sumbang mahram ini, kadangkala akan menyebabkan kehamilan yang tidak diingini berlaku. Kehamilan ini akan memberikan kesan yang amat mendalam kepada ibu dan anak yang dilahirkan. Antara kesan-kesan kehamilan seperti tekanan jiwa yang teruk yang mana ia akan menjejaskan kandungan dan berakhir dengan kelahiran bayi cacat.

Selain daripada itu juga, proses pembangunan masyarakat akan menjadi lambat, ia akan menjejaskan imej masyarakat Islam, melambatkan proses pembentukan keluarga, merenggangkan hubungan masyarakat dan lain-lain lagi.

 
 -LANGKAH MENGATASI MASALAH SUMBANG MAHRAM-

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk membendung kejadian sumbang mahram dari terus berleluasa. Antaranya adalah:

i. Rancangan bersepadu yang membabitkan perumahan, pendidikan dan kemudahan prasarana untuk membendung gejala-gejala sosial dari terus berleluasa iaitu membina rumah berbilik tiga untuk keselesaan penduduk samada yang berpendapatan rendah ataupun sebaliknya.
ii. Ibu bapa perlulah meluangkan masa bersama anak-anak serta sentiasa mengawasi setiap pergerakan mereka.
iii. Memberikan penerangan bahawa mangsa sumbang mahram adalah tidak bersalah dan menanamkan keyakinan yang tinggi untuk mereka menerus hidup.
iv. Pendidikan seks di sekolah perlulah diwujudkan bagi mencegah para pelajar daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini.
v. Ajaran agama yang kukuh perlulah disematkan di kalangan masyarakat.
vi. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat untuk pesalah sumbang mahram dan juga undang-undang untuk melindungi mangsa.


 -KESIMPULAN-

Generasi pada masa kini perlu diberi kesedaran yang sewajarnya untuk membendung masalah ini dari peringkat awal lagi. Jika satu pihak sahaja yang berusaha untuk menangani masalah ini tidak akan menjadi kenyataan, seharusnya masyarakat di negara ini perlulah berganding bahu dalam memastikan masalah sumbang mahram dapat dikurangkan seterusnya negara bebas daripada masalah sosial. Oleh itu, pelaku sumbang mahram perlu mengingati ibarat “ haruan makan anak” adalah perlakuan yang membawa masalah yang amat besar dalam sesebuah institusi keluarga.

Disediakan Oleh : Mahfuzah Bt Mahtar (207379)

No comments:

Post a Comment